Friday, March 13

Isu sensitif... hm...

Soalan lazim yang selalu ditanya kepada saya oleh sesetengah orang:

Hang budak sekolah agama kan? Pasaipa tak pakai tudung labuh?

Sebenarnya persoalan ini memang sudah biasa diutarakan kepada saya. Sampai tahap dimana kata orang utara, “dah tak laghat dengaq dah”. Hm, mereka yang bertanya soalan ini kepada saya sekadar kerana semangat inkuiri mereka. Ada yang bertanya kerana ingin menegur saya untuk kembali ke jalan benar dan ada juga yang bertanya dan berkata sekaligus dalam hati, nama saja budak sekolah agama, didikan agama cukup, tapi tak reti bahasa lagi. Sebenarnya, satu niat pun saya tidak ambil kisah. Saya seorang yang mindanya cukup terbuka, jadi saya akan menjawab dengan sejujurnya mengapa saya tidak melakukan perkara yang dulunya pernah saya buat ketika di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Al-Irshad dulu. Jangan salah sangka, saya tidak pernah terdetik hati memangkah sesiapa yang memakai tudung labuh, malah saya amat menghormati dan memandang tinggi kepada mereka yang berjaya melakukan perkara yang tidak dapat saya lakukan. Saya cukup kagum, kerana bukan calang-calang orang yang dapat melakukan perkara begini. Bagi saya, saya mempunyai sebab saya sendiri. Walaupun saya akui sebab saya ada juga yang tidak munasabah, namun inilah fitrah manusia. Saya tidak sempurna. Saya akui itu. Terlalu banyak kelemahan saya yang bukan sahaja amat ketara pada mata kasar, malah lebih dari itu.

Ini antara sebab-sebab saya:-

· Sifat semulajadi saya mungkin tidak begitu sesuai dengan pemakaian tudung labuh. Saya seorang yang amat tidak matang dalam setiap tindakan, termasuk bercakap, cara saya berjalan dan bergaul dengan orang. Walaupun sudah berumur hampir 19 tahun, sikap saya amat kebudak-budakkan, seperti kanak-kanak berumur 13 tahun. Seperti yang kita biasa lihat, wanita yang bertudung labuh ialah seorang yang amat sopan-santun, berakhlak mulia dan berbudi pekerti yang tinggi. Amat berbeza dan mungkin bertentangan dengan saya yang percakapannya pun tidaklah begitu bersopan, tindak-tanduk yang menyebabkan orang melabel saya sebagai ‘rockers’ dan cara saya berjalan yang nampak seperti seseorang yang mahu mencari gaduh dengan orang lain. Saya juga amat tidak boleh mengawal cara saya ketawa dan cara percakapan saya yang seperti lelaki. Saya tidak mahu apabila saya memakai tudung labuh dan berperangai sedemikian, orang lain akan berkata “Orang pakai tudung labuh pun tak senonoh, orang tak pakai tudung camana pulak?” Mungkin ada yang akan terfikir untuk menasihati saya jangan mendengar cakap-cakap orang lain, namun saya tidak mahu kerana saya imej orang lain akan tercemar, kerana saya juga kadangkala berfikir sedemikian.


· Cara saya berjalan dan bantuk tubuh saya mungkin antara sebab saya berhenti dari memakai tudung labuh. Tapi, penjelasannya amat personal, jadi tidak saya coretkan di sini. Jika semangat inkuiri anda juga amat kuat, anda bolehlah bertanya saya dengan menghubungi saya melalui telefon bimbit atau emel.


· Mulut orang. Islam ingin mengelakkan fitnah. Dan berdasarkan kajian saya, apabila mata manusia menangkap seseorang itu sebagai apa yang dilabelkan sebagai ‘alim’, mereka akan mula memerhatikan orang itu. Dan satu sahaja kesalahan yang dilakukan menyebabkan seseorang itu difitnah dengan teruknya dan gosip itu akan terus tersebar ke seluruh komuniti. Ini yang amat saya takutkan. Jangan kata satu, setiap hari melambak-lambak kesalahan saya. Nampak sangat saya ini seorang hamba yang amat kurang imannya. Masalah ini mungkin tidak berlaku dalam sesetengah komuniti, namun saya telah berada dalam banyak komuniti dan melihat perkara-perkara yang mungkin seorang remaja berusia 19 tahun tidak patut lihat. Jadi jika boleh, saya ingin mengelak dari perkara ini terjadi. Saya sayangkan agama saya, dan tidak mahu imej Islam tercalar kerana saya. Tetapi insya-allah, jika terjadi di hadapan saya perkara sabegini, saya akan cuba menengur dengan berhikmah. Ingin saya ceritakan di sini, ini merupakan pengalaman saudara saya sendiri. Pelajar-pelajar bukan Islam mengetawakan orang yang memakai tudung labuh di IPT. Kata mereka, “orang Melayu pakai tudung besar sebab mahu sorok itu bayi dalam perut”. Dan apa yang dikatakan mereka memang betul. Ada pelajar di IPT yang betul-betul memakai tudung labuh kerana menyorokkan perut yang saban hari makin besar kerana mengandung anak luar nikah. Isu ini memang sensitif, tapi saya coretkan di sini sebagai peringatan saya dan juga anda.


· Ini salah satu sebab yang tidak munasabah. Susah nak beli,basuh, jemur, seterika, jaga dan sebagainya. Saya bercakap mengenai tudung labuh dari kain licin yang dijahit tengah dan dipakai oleh pelajar sekolah. Ada yang pernah menegur saya yang perkara ini hanya susah di dunia, dan di akhirat nanti kita akan dapat kesenangan. Dan saya akan tersipu-sipu malu. Tapi fitrah manusia begitulah. Selepas itu saya akan terlupa.

Sesungguhnya bukanlah niat saya mematahkan semangat sesiapa yang ingin memakai tudung labuh. Tidak. Malah saya menyeru sesiapa yang ingin berubah, silakan. Saya mengalu-alukan. Fal yatafaddhol masykuro. Bagi saya, mungkin pintu hati saya belum terbuka. Insya-allah, nanti jika sudah terbuka pintu hati saya, saya akan pakai juga. Mungkin saya memerlukan masa. Walaupun masa kita sebagai umat Muhammad tinggal tidaklah begitu banyak. Saya bukanlah tidak menutup langsung aurat saya, Cuma buat masa sekarang saya hanya ‘cukup-cukup’ sahaja. Dalam satu ayat Quran ada menyebut “suruhlah perempuan-perempuan kamu melabuhkan tudung mereka sehingga menutupi poket-poket mereka”. Cukup-cukup sahaja, tidak lebih. Jadi jika memakai tudung labuh perkara ini lebih afdhal dan lebih ada kepastian dan jaminannya.

Tetapi, apabila sudah memakai tudung labuh ni, perlulah diingatkan beberapa perkara. Perkara ini terjadi sendiri kepada saya. Dulu, saya suka memandang rendah sesiapa yang tidak memakai tudung labuh. Bagi saya, pelajar sekolah lain yang bertudung pendek perangainya tidak senonoh dan tidak begitu beriman. Namun, setelah saya berpindah sekolah, saya dapati sebenarnya ada di antara sahabat-sahabat saya yang bertudung tidaklah labuh, hanya cukup syarat tetapi hati mereka lebih suci dari hati saya. Mereka lebih beriman dari saya sendiri. Mereka lebih pakar dalam ilmu agama berbanding saya sendiri, walaupun saya dididik di sekolah agama selama tiga tahun dan mereka hanya berada di sekolah biasa sahaja. Baru terbuka mata saya, mereka ini lebih hebat kerana mencari sendiri ilmu yang ada pada mereka, padahal saya ini dulu hanya kerana peraturan sekolah, saya berada di surau dan mendengar tazkirah Ustaz Asri. Sesungguhnya akal fikiran saya tidak sampai begitu. Saya sedar yang nilai ilmu yang ada pada saya tidaklah seberapa, kerana nilai ilmu bukan bergantung kepada berapa banyak dan di mana kita mendapat ilmu tersebut; sebaliknya terletak pada usaha seseorang itu bagi mendapatkan ilmu tersebut, niat mendapatkan ilmu kerana Allah Taala dan bagaimana dia menggunakan ilmu tersebut ke arah kebaikan. Jadi, saya amat pantang sekarang orang yang hanya menilai orang lain sekadar melihat luaran mereka, bukan dari hati budi masing-masing. Durian yang berduri di luar tidak bermakna isinya masam; Rambutan yang berambut kulitnya tidak bermakna buahnya kelat. Jadi, bagi kawan-kawan yang suka menilai dan berprasangka buruk kepada orang lain, tepuk dada tanyalah iman. Adakah iman kita sudah cukup untuk menilai sama ada orang lain alim atau tidak? Bagi saya alim seseorang hanya boleh dinilai oleh Tuhan yang Maha Esa. Orang biasa tidak layak menilai seseorang yang lain. Nabi Muhammad pun tidak menilai orang, apa yang memberikan kita hak untuk berbuat sedemikian?

Niat tak manghalalkan cara. Walaupun apa yang dilakukan seseorang itu salah, kita tidak punya hak untuk mengutuk atau melihat seseorang itu dengan jijik. Jika mahu menegur, lakukan dengan lembut dan berhikmah. Jika tidak, berdoa sahaja di dalam hati supaya dia berubah. Tidak perlu memutuskan terus hubungan dengan seseorang itu atau kata kanak-kanak, “tak mau kawan la dengan hampa”. Nabi Muhammad tidak ajar kita “jangan kawan dengan orang tu” atau “maki dia cukup-cukup, pastu kita pulaukan dia ramai-ramai, hahaha...” Orang bukan Islam pun tahu cara itu salah. Kita disuruh membenci perbuatan salah seseorang itu, tapi bukan membenci diri orang itu sendiri. Saya sebenarnya tidak begitu suka dengan perbuatan seorang pelajar IPT yang mencipta lagu yang mengutuk perempuan-perempuan yang saya katakan tidaklah begitu memelihara aurat mereka. Bagi saya, cara itu salah, tidak sesuai, mendatangkan kemarahan dan menyebabkan kita dipandang rendah. Saya katakan begitu kerana apabila lagu itu didendangkan, sebenarnya orang-orang yang menjadi sasaran lagu ini tidak mempunyai apa-apa perasaan pun. Tetapi yang malu ialah orang-orang yang memang sudah agak lengkap imannya. Bagi saya sendiri, saya malu mendengar lagu ini. Namun, jika saya bertanya kepada mereka yang berkenaan, jawapan mereka mudah.

“Entah, takde rase pape. Orang fanatik Islam memang camtu”, atau

“Biasa la depa tu,” atau

“Ada ke lagu camtu?”


Secara epidemiologinya, memang tak berkesan. Tapi saya tidak tahu. Saya tidak menemu ramah semua orang di Malaysia.


Janganlah memangkah saya sekarang. Saya tidak mengutuk, namun renung-renungkanlah sendiri. Saya menulis berdasarkan pemerhatian, kajian dan kesimpulan yang bukan sahaja dibuat oleh saya, namun orang lain juga. Saya sendiri tidak memangkah sesiapa, dan pangkah yang saya maksudkan bukanlah bermaksud pangkah undi, tetapi pangkah dari segi memboikot seseorang itu. Saya hanya bercakap dari pengalaman, dan jika penilaian saya silap, harap maaf. Saya akan cuba ubah.Tetapi kepada sesiapa yang membaca artikel saya, bukalah minda anda luas-luas. Ini hakikat yang terjadi. Bukan cerita Hanuman. Bersama-sama kita baiki diri. Saya sendiri tidaklah baik sempurna atau ‘perfect’, tetapi kita mesti cuba mencari kesempurnaan. Mencuba lebih baik dari mengutuk orang yang mencuba!

1 comment:

Zazzy said...

Woah, ada bakat menulis kawan ak niyh...
Lagi panjang dari cerita ak chapter 5.

yg pasal pakai tudung labuh tp perut boyot...
Astagfirullahalazim.

Itu je la...
X tau nak comment.
Ak paham perasaan mmbasuh baju. Klau banyak, lagi tekanan.