Friday, March 13

Adikku Lari dari MTD


Adikku lari keluar dari Maktab Tentera Diraja selepas seminggu berada di Kem Sungai Besi.

Aku pun tak tahu bagaimana perkara sebegini boleh terjadi. Setahu aku, beliau yang mahu masuk sangat ke MTD, walaupun aku telah mengabarkan kepadanya apa yang telah rakan-rakanku di MTD beritahu aku mengenai maktab itu; Itu ialah neraka dunia. Jika itulah apa yang Danial ceritakan, aku boleh percayakan dia. Tetapi adikku tetap bertegas mahu pulang. Apa yang boleh kukatakan.

Ceritanya bermula setelah 2 hari dia berada di maktab.Mamaku mula menelefon aku di kolej, mangatakan adikku membuatkan beliau tidak dapat tidur dan makan dan hidup dengan aman. Aku bertanya mengapa, walaupun aku sudah dapat mengangak isu apakah yang dibawa oleh mama. Adikku sering menelefon ke rumah dalam pukul 5.00 pagi setiap hari dan mengabarkan keterukan kes buli di MTD. Aku dengar nada mama sayu, beliau sedang bersedih. Aku tergaru kepalaku yang tidak gatal, memikirkan bagaimana harus aku menenangkan mamaku yang sedang berduka ini. Akhirnya, aku terpaksa menawarkan diriku pergi melawat adikku di MTD pada hujung minggu ini. Kata Nina, aku terlalu baik. Mungkin benar. Tapi aku tak merasakan diriku ini baik. Itulah masalahnya.

Minggu itu hampir setiap hari mamaku telefon. Selalunya sebulan sekali sahaja aku terima panggilan dari rumah. Kusut aku minggu itu. Dan aku pula terpaksa membuat keputusan mengejut mengambil peperiksaan AS Level Biology bagi semester Mei Jun ini. Aku semakin kusut. Aku tidak tahu bagaimana aku boleh membuat keputusan sedemikian. Tetapi memikirkan aku bukanlah seorang yang bijak dalm membahagi masa dan jika aku tersilap langkah, mungkin habis juga AS Level Chemistry dan Mathematics aku. Soal Maths, jangan ditanya. Kusut, KUSUT, KUSUT!!! Minggu itu juga aku harus pergi ke KLCC kerana ada Education Fair Canada pada hari Sabtu. Dan minggu ini kolej aku ada kelas pada hari Sabtu. Cuti yang tinggal hanya Ahad. Terpaksa pula mengorbankan cutiku untuk pergi ke Sungai Besi. Seharian akan penuh. Esoknya kelas bermula seperti biasa. Wah, sibuknya hidupku! Bilakah boleh berehat sebentar?

Aku belum berdaftar di Student Service untuk bas ke Midvalley, berikutan aku memikirkan yang aku tidak ingin mengorbankan cutiku dan berfoya-foya di luar sementara buku Biology tidak kusentuh. Tetapi, atas permintaan mama, aku terpaksa mendaftar juga untuk bas ke Mid. Dan bas penuh apabila aku bertanyakan pada abang di kaunter Student Service. Kuda ada di sebelahku, dia juga ingin keluar atas urusan peribadi. Aku terpaksa merayu untuk disediakan tempat supaya aku dapat pergi ke MTD. Disebabkan aku tidak begitu pakar mengenai jalan-jalan di KL, terpaksa aku mengheret kawan baikku, Yem ke MTD. Habis juga duitku RM15 untuk bayaran bas. Aku sekarang sedang sengkek.

Minggu itu juga, kerana aku stress, aku jatuh sakit. Demam panas. Beberapa kali juga aku ponteng kelas. Tapi aku tak berani ponteng kelas Bio, mengingatkan aku sudah menghatar borang biru untuk mengambil subjek Biology AS Level Mei Jun ini. Jadi kelas Bio kugagahi juga. Bagi Maths dan ICT, Allah selamatkan kamu...

Hari itu aku dan Yem memulakan perjalanan menaiki bas. Mula-mula datang sudah timbul masalah. Nama kami tiada dalam senarai. Bagus. Petanda hari yang baik. Akhirnya dapat juga kami naik. Sementara menunggu abang saudaraku yang juga sedang menunngu aweknya bersiap, aku melepak di MPH. Ya, aku memang skema, kerana tidak ramai remaja zaman sekarang yang melepak di sebuah kedai buku. Spesisku memang jarang ditemui. Aku bertemu dengan Shake dan Husna, teman lama SBPIKP dulu. Dan seperti biasalah juga tanggapan mereka terhadap aku dan Yem. Muak aku. Selepas pukul 12 tengahari, aku melepak dengan Yem di hadapan MPH, dan bercerita sehingga pukul 2 petang. Barulah abang sepupuku sampai. Sebelum itu mama ada menelefon. Nadanya marah-marah. Apabila aku meminta mama berhenti marah, beliau terus meletak telefon. Pelik. Aku asyik menggenggam McDonald yang kubeli untuk adikku. Dalam kekusutan aku terlupa aku sedang memboikot barangan Israel. Sudah dibeli. Takkan mahu membazir pula. Sudahlah keadaan kewangan aku memang berada di tahap yang amat kritikal sekarang.

Aku terus menaiki kereta. Abang sepupuku memandang kami, dan riak mukanya berkerut seperti memikirkan sesuatu. Dan apabila dia seperti sudah membuat satu konklusi mengenai aku dan Yem (standard lah konklusi semua orang) dia mula memandu dan memulakan perbualan.

“Dayah, mama Dayah nak mai KL.” Aku hampir nak termuntah.

“Watpa mai KL?”

“Tengok Fitri la.”


Ini satu lagi aku tidak faham. Dan aku rasa sampai di sini sahaja cerita aku. Aku tidak sampai hati bercerita kisah ini di blog. Takut dilabel sebagai anak tak mengenang budi. Tetapi cerita ini bukanlah cerita “And they live happily ever after”. Ternyata sesuatu yang tidak baik berlaku. Dan... Ah, sudahlah!

2 comments:

.::annemishi::. said...

wah2... menarik aar cta ang.. cam novel..
i mean..cara ang tulis laa.. erm...

ku pon ngh kusut.. serabai.. =|

Dai said...

ooww... yaka...
awww... thanks...terharu aku wahai annemishi..
hihihi